Friday, May 29, 2009

Ternakan Angsa di Kebun



Angsa atau nama saintifiknya Anser cygnoides mula dipelihara di kampung saya di Parit Perawas lebih setahun yang lalu setelah dibawa daripada seorang rakan berketurunan india di Sg. Besi, Kuala Lumpur. Pada mulanya, saya membeli 3 ekor anak-anak angsa yang berumur 1 minggu pada harga RM50/ekor tetapi malangnya 2 ekor daripadanya yang dipercayai betina mati tanpa mengetahui sebab musababnya.
Atas rasa kasihan dan simpati seekor lagi angsa
berjantina betina yang berumur lebih kurang 1bulan telah dibeli ditempat yang sama juga
setelah mengetahui jantina angsa di kampung saya tersebut berjantina jantan. Alangkah seronoknya apabila mereka dipertemukan setelah yang jantan tersebut kerap kebisingan dan mengekori ke mana sahaja mak saya akibat kesunyian.
Memelihara angsa dikatakan mempunyai potensi yang baik dimana anak angsa yang baru menetas dalam seminggu boleh dijual pada harga RM 60-80 seekor bagi jenis Angsa Cina Kelabu manakala Angsa Cina Putih boleh dijual pada harga RM 90 - 100 seekor di kedai-kedai menjual haiwan-haiwan peliharaan. Angsa betina boleh menghasilkan telur sekitar 7-8biji sekali bertelur iaitu pada kebiasaanya akan bertelur pada musim hujan. Pada kali pertama pusingan angsa bertelur, telur2 tersebut dikatakan tidak subur dan mempunyai saiz yang lebih kecil sebesar telur itik nila. Jika ditetaskan juga, telur2 tersebut tidak akan menetas kerana tidak mempunyai benih.
Angsa betina saya yang diberikan nama "pet" sudah masuk pusingan bertelur yang ke empat pada bulan ini (Mei 2009) bersama pasangan jantannya yang diberikan nama "Ang". Sebanyak 3 ekor anak telah berjaya ditetaskan dan hanya 1 ekor sahaja yang berjaya hidup hingga sekarang dan diberikan nama "Cici". Diharapkan telur2 di pusingan kali ini akan menjadi dan berjaya hidup.
Angsa-angsa dipelihara di Malaysia kebanyakan adalah bertujuan untuk mendapatkan dagingnya, menjaga halaman kebun juga sebagai pengawal rumpai di kebun-kebun. Angsa jenis Embden menjadi pilihan kebanyakan penternak untuk mendapatkan dagingnya kerana ia mempunyai berat badan yang lebih berat berbanding angsa jenis cina dan angsa afrika. Angsa mempunyai ingatan yang baik kerana mampu mengenali tuannya berbanding unggas lain, oleh itu, "Berhati-hati kalo ke rumah orang yang ada memelihara Angsa!!" kalo depa tak kenal, muncung mereka akan ke depan dan menggigit jari kaki anda...

Penternakan Itik Penelur


Itik penelur merupakan ternakan utama yang dipelihara di kampung saya di Parit Perawas, Sg. Rambai, Melaka. Penternakan telah dimulakan lebih setahun yang lalu atas idea yang datang daripada kakak saya setelah melihat potensi penternakan itik tersebut yang telah dijalankan oleh pakcik saya di Jasin, Melaka.
Sebelum memulakan penternakan tersebut, beberapa persediaan perlu di ambil kira dengan mendapatkan seberapa banyak maklumat samada daripada sumber internet mahupun buku-buku. Terdapat dua buah buku yang menjadi panduan utama dalam membantu kami sekeluarga dalam menguruskan penternakan tersebut di antaranya ialah buku keluaran daripada MARDI dan Synergy Sdn Bhd manakala daripada internet pula daripada Jabatan Veterinar negeri Perak; http://www.jphpk.gov.my/.
Sumber benih-benih itik Khaki Campbell telah dipilih dan didapati daripada pembekal di Tampin, Negeri Sembilan kerana lebih murah dan sudah diasingkan jantina mereka. Ramai yang tidak mengetahui bahawa dalam beberapa keluarga unggas, mereka boleh menghasilkan telur-telur tanpa persenyawaan daripada induk jantan. Oleh yang demikian, jika tujuan pemeliharaan untuk penghasilan telur semata-mata tanpa penetasan, induk jantan tidak diperlukan.
Untuk permulaan, kami sekeluarga mendapatkan lebih kurang 90 ekor induk betina dan hanya 5 ekor induk jantan. Menurut sumber maklumat yang ada, itik akan mula menghasilkan telur2 selepas 4 bulan dipelihara. Oleh yang demikian, modal yang mencukupi diperlukan dalam hal pemakanan mereka. Seperti yang disyorkan dalam buku2 tersebut, makanan harus diberikan mengikut peringkat2 seperti makanan "duck starter" untuk anak berumur 0-3 minggu, "duck grower" untuk itik berumur 4 - 16 minggu dan "duck layer" untuk itik berumur 16 minggu dan semasa mereka sedang bertelur.
Untuk hal pemasaran pula, telur-telur itik boleh dijual dalam dua jenis samada mentah mahupun telur yang telah dimasinkan. Jika dibuat perbandingan, telur-telur masin mempunyai harga yang lebih tinggi dan mendapat permintaan yang lebih baik daripada pengguna berbanding telur yang dipasarkan mentah.
Oleh kerana permintaan telur-telur itik masin/mentah yang semakin meningkat dari hari demi hari, benih itik-itik telur telah ditambah lagi sebanyak 60 ekor lagi. Buat masa sekarang, telur-telur tersebut hanya dipasarkan sekitar kawasan Sg Rambai/Muar sahaja dan masih belum dapat menampung permintaan di luar kawasan tersebut. Kajian ke atas penerimaan pengguna bagi telur yang dicop sebagai "Kak Ros Telur Masin" menunjukkan mereka gemarkan telur masin buatan kampung kerana telur kuning (yolka) nya lebih merah serta lemak dan rasanya kurang masin seterusnya boleh menurangkan risiko darah tinggi naik.

Sekapur Sireh

e1familyfarm.blogspot.com diwujudkan pada Mei 2009 adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman saya bersama keluarga khas di dalam pemeliharaan unggas (haiwan jenis burung) samada untuk pemakanan mahupun hobi. Saya berserta keluarga memelihara beberapa jenis unggas sejak tahun 2006 lagi. Saya harap cik/tuan/puan juga dapat berkongsi bersama-sama saya dalam pemeliharaan ternakan unggas ini... Selamat melayari blog saya.